BERITA UTAMASELANGOR

810 hektar disediakan bangun industri aeroangkasa di Sepang

KLANG, 19 JAN: Kawasan seluas 810 hektar di Sepang bakal dibangunkan bagi memperkasa industri aeroangkasa serta menarik pelaburan asing ke Selangor, kata Dato’ Teng Chang Khim.

EXCO perindustrian dan perdagangan berkata pembangunan industri itu selaras Belanjawan Selangor 2020 serta saling melengkapi kawasan industri aeroangkasa sedia ada.

“Kita juga sudah bincang dengan pemilik tanah untuk bersama mempromosi industri ini secara terbaik,” katanya selepas Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah 2020 di Dewan Orang Ramai Taman Eng Ann di sini.

Selain itu, Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri merancang mengadakan misi pelaburan ke luar negara khususnya ke ekspo utama dunia bagi menjayakan agenda pembangunan itu.

“Kita bercadang mahu adakan lawatan ke ekspo aeroangkasa terbesar dunia antaranya di Singapura, London dan Paris,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan syarikat swasta industri aeroangkasa bagi menarik lebih ramai pekerja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia menceburi dalam bidang itu.

“Usaha ini sebagai langkah mengurangkan penggunaan tenaga kerja asing serta membantu pekerja tempatan memperoleh peluang kerjaya dengan sebilangan kos ditanggung kerajaan dan sebahagian swasta,” katanya.

Belanjawan Selangor 2020 menyasarkan sektor aerongkasa menjelang 2030 mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pendapatan tahunan RM55.2 bilion.


Pengarang :