Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Agamawan diseru dalami ilmu, wibawa jadi rujukan masyarakat

SHAH ALAM, 30 JAN: Dato’ Menteri Besar menyeru golongan agamawan mendalami pengetahuan supaya institusi berkaitan kekal berwibawa dan terus menjadi rujukan masyarakat.

Mahu mereka berdaya saing dan mampu menangani persoalan semasa, Dato’ Seri Amirudin Shari percaya pencerahan ilmu agamawan dapat mengelakkan kekeliruan orang ramai yang gemar merujuk isu di media sosial.

“Hari ini Facebook, Twitter, Instagram, yang jadi ustaz banyak di sana. Rujukannya juga di sana. Semakannya juga di sana. Tidak lagi dirujuk kepada mereka-mereka yang boleh dianggap berkaliber dan berkelayakan.

“Kadang-kadang kita (orang ramai) dapat pun kita ‘copy paste’ (salin bulat-bulat) dan akhirnya kekeliruan dan penghormatan orang kepada jabatan dan agensi dan institusi (Islam) yang saya sebutkan tadi lama-lama akan hilang,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor bersama Dato’ Menteri Besar di sini pada 28 Januari lalu.

Amirudin berkata agamawan juga perlu meneroka pengetahuan dengan lebih luas dan mendalam di luar bidang mereka, seterusnya melengkap diri sebagai golongan kaffah (pengamal Islam secara keseluruhan).

Beliau tidak mahu Islam dilabel tanggapan negatif berikutan institusi agama terkebelakang dan gagal memahami konteks ilmu moden hingga menimbulkan keresahan masyarakat.

“Pada hari ini setiap saat dan waktu, maklumat yang bertebaran benar dan palsu itu semakin lama semakin banyak bercantum, bergaul, yang akhirnya boleh mengelirukan masyarakat dan umat dalam negara kita.

“Kita tidak boleh ‘in denial’ (dalam penafian). Kita tidak boleh menolak mentah-mentah. Di mana wujud keresahan antara satu sama lain dan keresahan itu boleh dirungkai dengan ilmu, penerangan, pencerahan serta maklumat.

“Justeru, saya sangat-sangat berharap agar kita ‘alert’ (peka), kita prihatin, kita bersedia dengan sebarang perubahan kerana yang di luar itu, di luar jabatan maksud saya memang suka menunggu kesilapan,” katanya.


Pengarang :