Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan, Rusli Karim (tengah) bersama anggota memeriksa sebahagian 84 kotak mercun dan bunga api bernilai RM84,000 yang dirampas di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong, Machang awal pagi Sabtu ketika sidang media di Pejabat AKSEM pada 5 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

AKSEM rampas mercun bernilai RM84,000 di Machang

KOTA BHARU, 5 JAN: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan merampas sebanyak 84 kotak mercun dan bunga api bernilai RM84,000 di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong, Machang awal pagi Sabtu.

Komander AKSEM Kelantan, Rusli Karim berkata barangan seludup itu dikesan selepas anggota Unit Operasi AKSEM ternampak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan diletak di tepi sebuah rumah pada jam 12.15 pagi.

“Pihak kami menunggu kira-kira 30 minit di kawasan berkenaan namun tiada sesiapa yang muncul dan setelah diperiksa, puluhan kotak berisi mercun dan bunga api ditemukan dalam lori tersebut. Kesemua mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui Sungai Golok.

“Lori dua tan bersama mercun itu dibawa ke pejabat AKSEM sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya kepada pemberita di Pejabat AKSEM di sini, hari ini.

Rusli berkata keseluruhan nilai rampasan kali ini termasuk lori ialah kira-kira RM114,000.

-BERNAMA


Pengarang :