AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Akta gangguan seksual, kerja sosial fokus Kementerian Wanita tahun ini

PUTRAJAYA, 29 JAN: Pengenalan akta berkaitan gangguan seksual dan profesion kerja sosial antara keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) pada 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang mampu melindungi hak dan kehormatan wanita antara janji manifesto Pakatan Harapan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

Beliau berkata antara elemen dalam draf rang undang-undang tersebut adalah definisi gangguan seksual yang menyeluruh, mekanisme pengaduan dan penyelesaian lebih efektif, elemen remedi dan penalti selain mengesyorkan standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi semua pihak yang terlibat dalam kes aduan gangguan seksual.

“Pada masa ini terdapat kekangan dalam perundangan sedia ada seperti Akta Kerja 1955 dan Kanun Keseksaan.

“Sebagai contoh, Kanun Keseksaan tidak mendefinisikan gangguan seksual dengan terperinci dan meletakkan beban kepada mangsa untuk membuktikan melebihi keraguan munasabah yang memang amat sukar bagi kebanyakan kes gangguan seksual,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Bernama dan RTM mengenai hala tuju KPWKM di pejabatnya di sini.

Katanya, RUU itu juga terpakai kepada lelaki dengan mengambil kira gangguan seksual boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki, wanita terhadap lelaki atau wanita terhadap wanita.

Dr Wan Azizah menambah RUU tersebut yang mendapat input dan pandangan melalui platform sesi libat urus dengan pihak berkepentingan turut mencadangkan penambahbaikan terhadap sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus untuk mendengar dan menangani kes gangguan seksual.

Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM menggubal RUU Profesion Kerja Sosial bagi mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

“Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan berfungsi mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia,” katanya menambah draf RUU itu kini dalam peringkat akhir di kementerian sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata KPWKM akan melancarkan Talian Kasih khas melalui WhatsApp esok (30 Januari) bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya Orang Kurang Upaya (OKU) bisu atau mempunyai kesukaran bercakap membuat aduan melalui aplikasi tersebut.

Tambahnya, Talian Kasih melalui aplikasi itu merupakan pilihan lebih murah berbanding membuat panggilan kerana pada ketika ini, hanya syarikat telekomunikasi DIGI yang menawarkan panggilan percuma kepada pelanggan mereka untuk menghubungi Talian Kasih.

Justeru, beliau menyeru supaya syarikat telekomunikasi yang lain dapat menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di Malaysia dengan memberi talian percuma kepada pelanggan masing-masing untuk menghubungi Talian Kasih 15999.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata Pusat Talian Kasih menerima 25,868 panggilan pada 2019, meningkat 40 peratus berbanding 15,046 panggilan pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan masyarakat kini lebih sedar dan peka terhadap perkhidmatan disediakan KPWKM dalam membantu masyarakat.

-BERNAMA


Pengarang :