Dato’ Seri Amirudin Shari memberi cenderahati kepada Ah Lian sempena Tahun Baharu Cina di DUN Sungai Tua pada 24 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Aktivis masyarakat teruja MB luang masa rai Tahun Baharu Cina

BATU CAVES, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerlahkan keperibadiannya yang baik dan dekat dengan rakyat apabila mengunjungi kediaman masyarakat Tionghua sempena Tahun Baharu Cina, kata Dave Lee Kean Aun.

Setiausaha kawasan rukun tetangga Taman Samudera berkata kedatangan beliau ke rumahnya amat mengembirakan dan ia kunjungan kali keduanya kerana pernah berbuat perkara sama tahun sebelum itu.

“Kami sekeluarga mengalu-alukan kehadiran Amirudin serta berbesar hati dapat bertemu secara dekat walaupun tahu kesibukannya dalam menguruskan pentadbiran negeri, namun tanggungjawab serta tugas diamanahkan rakyat dilaksana sebaik mungkin.

“Beliau sentiasa bertemu dan mendengar setiap permasalahan rakyat. Saya juga bangga dengan komitmen ditunjukkan dalam menyelesaikan setiap isu yang timbul,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Dato’ Menteri Besar sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Taman Samudera Utama di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba pada jam 10.30 pagi dan meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar sambil menikmati kuih muih dihidang keluarga aktivis masyarakat terbabit.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengunjungi kediaman seorang lagi aktivis, Ah Lian di Selayang Baru.


Pengarang :