AGENDANASIONAL

Ambank Research unjur KDNK 2019 tumbuh sekitar 4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Ambank Research hari ini mengekalkan unjuran bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2019 akan berkembang sekitar 4.5 peratus.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Ketua Pakar Ekonomi dan Penyelidik Kumpulan AmBank Dr Anthony Dass berkata purata pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi dua bulan pertama suku keempat 2019 (4Q2019) berada pada 1.2 peratus tahun ke tahun yang menunjukkan kemungkinan KDNK untuk tempoh berkenaan diunjurkan sekitar 4.5 peratus.

Menurutnya pada November lepas, indeks pengeluaran (IP) menokok sebanyak dua peratus tahun ke tahun dan melepasi konsensus pasaran pada satu peratus, didorong oleh peningkatan dicatatkan oleh pengeluaran perlombongan sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun daripada -5.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober, didorong oleh pengeluaran pembuatan (+2.5 peratus tahun ke tahun) dan elektrik (+1.6 peratus tahun ke tahun).

Sementara itu, pengeluaran perlombongan untuk pertama kalinya merekodkan pertumbuhan selepas mengalami penguncupan selama empat bulan berturut-turut.

Pengeuaran gas asli jujga kembali meningkat sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun pada November daripada -6.3 peratus pada Oktober.

“Bagi tempoh 2020, KDNK diunjurkan berkembang sekitar 4.6 peratus didorong oleh penggunaan swasta, pembentukan modal tetap kasar daripada pengembangan sederhana Belanjawan 2020 serta sumbangan eksport,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :