Maria Chin Abdullah meninjau kawasan tanah mendap dan retakan di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya pada 15 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Ancam nyawa penduduk, selesai segera isu flat retak

PETALING JAYA, 15 JAN: Isu keretakan kritikal di Flat Petaling Perdana di sini perlu diselesaikan segera demi keselamatan kira-kira 1,000 penduduk, kata ahli parlimen Petaling Jaya.

Maria Chin Abdullah khuatir masalah sejak sedekad lalu di kediaman lima tingkat itu berlarutan tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak terlibat.

“Saya difahamkan ini adalah bekas lombong, jadi banjir sering melanda ketika hujan lebat dan haiwan liar seperti biawak serta ular muncul akibat mendapan tanah, sekali gus membimbangkan penduduk.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengambil perhatian isu ini supaya nasib penduduk terbela,” katanya ketika meninjau flat terbabit hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Taman Medan Syamsul Firdaus bercadang untuk bertemu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi mengkaji isu mendapan tanah dan mencari penyelesaian.

“Kita perlukan pakar untuk mengkaji isu ini dan mungkin daripada situ kita boleh tahu sama ada flat berkenaan selamat diduduki atau tidak,” katanya.


Pengarang :