Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan pada wawancara eksklusif bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kedutaan Kerajaan Arab Saudi di Malaysia pada 14 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Arab Saudi, Malaysia kerjasama perangi Islamofobia

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Arab Saudi berminat bekerjasama dengan Malaysia bagi memberikan gambaran sebenar Islam dalam usaha memerangi Islamofobia, radikalisme dan ekstremisme sejagat yang berleluasa ketika ini, kata Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Beliau berkata kedua-dua negara sentiasa berusaha untuk menyampaikan gambaran sebenar Islam melalui konsep kesederhanaan atau wasatiyyah.

Menegaskan bahawa perlu ada kerjasama kolektif antara negara-negara Islam bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu ummah dan dunia Islam, beliau berkata ia memerlukan usaha bersama dan penyertaan daripada seluruh negara Islam untuk mengatasinya.

“Isu dan masalah yang membelenggu umat Islam sejagat seperti Islamofobia, radikalisme dan ekstremism turut dihadapi kebanyakan negara lain di dunia. Perlu ada kerjasama kolektif dalam kalangan negara Islam bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama di Kedutaan Arab Saudi di sini.

Menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi mengambil berat tentang masalah yang membabitkan negara-negara Islam serta ummah, Mahmoud Hussien berkata negara-negara Islam boleh bekerjasama melalui institusi antarabangsa sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Duta Arab Saudi ke Malaysia itu berkata melalui mekanisme dan instrumen OIC, negara Islam mampu mengutarakan segala pendirian mereka mengenai isu berkaitan termasuk membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menangani hal-hal ummah dan Islam khususnya fenomena Islamofobia, ekstremisme dan keganasan.

“Kerjasama ini adalah antara usaha yang dibangunkan OIC dan Malaysia serta beberapa negara Islam yang lain.

“Oleh itu, perbincangan dan kerjasama antara kedua-dua negara perlu sentiasa diadakan dalam menonjolkan gambaran sebenar Islam. Hal ini selari dengan dorongan Penjaga Dua Kota Suci (Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud) dan Putera Mahkota Arab Saudi (Mohammed bin Salman) yang berusaha untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam semua bidang,” katanya.

Menyentuh tentang hubungan Malaysia dan Arab Saudi, Mahmoud Hussien berkata hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berada dalam keadaan kukuh dan berharap ia dapat dikembangkan lagi.

“Arab Saudi dan Malaysia sedang meningkatkan hubungan yang akan memberi dimensi baharu dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara Insya-Allah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :