AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Artifak Gunung Pulai mampu tarik pelancong – Mukhriz

ALOR SETAR, 23 JAN: Kerajaan Negeri merancang untuk menjadikan Gunung Pulai di Baling sebagai satu lagi tarikan pelancongan di Kedah susulan penemuan lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik yang dianggarkan berusia 17,000 tahun oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata buat masa ini pihaknya masih belum memperhalusi cadangan itu dan akan mengambil kira semua aspek termasuk cara untuk menguruskan gunung itu sekiranya ia dibuka untuk tujuan pelancongan.

“Sebelum ini, kita telah menghentikan kerja-kerja kuari dan bercadang untuk menjadikan Gunung Pulai sebagai destinasi pelancongan. Bila ada penemuan seperti itu (artifak), ini merupakan peluang terbaik untuk membolehkan ia dijadikan sebagai tarikan baharu.

“Namun, cadangan itu akan diperhalusi selepas kerajaan negeri menerima laporan daripada JWN,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kelmarin, Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah JWN, Mesran Mohd Yusop berkata artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai ditemui di tapak baharu ekskavasi antaranya di Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar di gunung itu ketika jabatannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.

-BERNAMA


Pengarang :