Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aset baharu ahli keluarga Jho Low ditemui

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Polis menemui aset baharu milik keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di dalam negara ini yang bernilai jutaan ringgit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya akan mengambil tindakan untuk menyita dan merampas kesemua aset berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal pengurusan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ia adalah premis-premis kediaman di dalam negara… saya dengar masih berbillion-billion nilai US dollar masih lagi dalam kawalannya (Jho Low).

“Saya tidak akan berputus asa dan saya akan terus berusaha (memburu Jho Low) sebab seperti mana saya katakan pada tahun 2015 dahulu ia suatu rompakan besar dan merugikan negara,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mengakui kegagalannya untuk membawa pulang Jho Low pada akhir tahun lepas kerana berdepan dengan pelbagai rintangan didirikan pihak tertentu supaya pihak polis tidak dapat membawa ahli perniagaan itu ke muka pengadilan.

“Saya akui saya gagal, bukan gagal kerana tidak berbuat apa-apa atau gagal kerana menunjukkan saya ini superhero yang kononnya mampu berbuat apa-apa, tetapi janji saya dahulu saya berusaha dan usaha yang dilakukan ini meliputi bantuan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara,” katanya.

Abdul Hamid juga secara peribadi memberi jaminan keselamatan terhadap Jho Low serta mendapatkan hak dari segi undang-undang sekiranya ahli perniagaan itu pulang ke Malaysia.

“Daripada kenyataannya sebelum ini yang dia nak cuci tangan seolah-seolah tidak terlibat, kalau betul, baliklah.

“Secara peribadi, saya beri jaminan, tentang keselamatan diri dia bahawa dia akan mendapatkan hak dia dari segi undang-undang dapatkan pembelaan daripada the best lawyers dari seluruh dunia,” katanya.

Abdul Hamid berkata usaha memperlekeh sistem kehakiman di Malaysia dengan pelbagai andaian bagi dijadikan alasan untuk tidak pulang ke negara ini.

“Sebab itu, Jho Low tidak berani balik, (kononnya) takut diseksa. Saya persilakan ke Eropah dan pihak-pihak tertentu yang nampaknya masih enggan berikan kerjasama atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :