PENDAPATRENCANA

Awas kumpulan doktor palsu

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

KUALA LUMPUR, 12 JAN: “Awas Doktor Palsu” – ‘scam alert’ itu dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan lalu dan terdapat juga di Facebook Public Health Malaysia.

Istilah ‘doktor palsu’ mengikut Kementerian Kesihatan merujuk kepada pengamal perubatan atau pergigian yang tidak diiktiraf atau tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia atau Majlis Pergigian Malaysia, dalam menawarkan perkhidmatan.

Sejak beberapa tahun lalu terdapat laporan berhubung kegiatan individu, menyamar sebagai doktor malah ada yang menawarkan perkhidmatan pergigian dengan bayaran yang murah di hotel, yang boleh membahayakan nyawa mereka yang dirawat.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 28 kes direkodkan pada 2018 membabitkan pemegang perakuan atau pemegang lesen yang dikenakan tindakan, kerana menggajikan doktor yang tidak berdaftar, manakala jumlah kes yang diambil tindakan pada tahun lepas sebanyak 14 kes.

Kes itu walaupun tidak banyak, cukup untuk menimbulkan kebimbangan memandangkan bidang perubatan, jika tidak mendapat rawatan yang betul boleh mendatangkan mudarat dan melibatkan nyawa pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata doktor palsu dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu individu yang memberi rawatan perubatan moden; tidak bertauliah; dan individu yang menggunakan gelaran doktor tanpa sijil sah.

Bagi individu yang memberikan rawatan perubatan moden, mereka menjalankan aktiviti itu di premis yang tidak berdaftar atau tidak berlesen, manakala individu yang tidak bertauliah pula akan memberi perkhidmatan jagaan kesihatan di kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta (KPJKS) yang berdaftar atau berlesen dengan Kementerian Kesihatan.

“Kumpulan ketiga adalah individu yang menggunakan gelaran ‘doktor’ bagi memberi gambaran bahawa dia adalah seorang doktor perubatan bertauliah, dengan tujuan melariskan penjualan produk atau bagi meraih kepercayaan pelanggan,” kata Dr Noor Hisham kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata masyarakat dikhuatiri berisiko menghadapi masalah atau penyakit seperti kecacatan kekal, ganguan emosi, mental atau risiko kematian, sekiranya berterusan menggunakan perkhidmatan daripada individu tidak terlatih itu.

“Terdapat kes di mana pesakit mendapat kecacatan kekal pada muka dan anggota badan, apabila menjalani pembedahan yang dilakukan individu tidak bertauliah ini,” katanya.

Beliau berkata pesakit juga boleh mengalami implikasi kerugian wang ringgit, kerana bukan sahaja telah melaburkan sejumlah wang, tetapi terpaksa berbelanja lebih banyak untuk merawat masalah kesihatan akibat rawatan pengamal yang tidak berdaftar, selain tidak dapat menuntut ganti rugi melalui tuntutan sivil atau tribunal pengguna.

Dr Noor Hisham berkata pelbagai faktor dipercayai mendorong individu tidak bertauliah membuka klinik atau menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, antaranya ia mempunyai pulangan ekonomi yang tinggi, selain terdapat permintaan yang tinggi daripada rakyat, bagi mendapatkan rawatan perubatan atau pergigian dengan cepat dan dianggap murah.

Faktor lain ialah kos rawatan di KPJKS yang dianggap mahal atau tidak ditanggung oleh insurans; waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan di kemudahan jagaan kesihatan kerajaan yang lama; kurang kesedaran tentang bahaya dan implikasi mendapatkan rawatan daripada individu tidak terlatih; dan percaya kepada iklan.

Individu yang menyediakan perkhidmatan itu boleh dikenakan denda maksima RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, selain perakuan pendaftaran dan lesen hospital atau klinik boleh ditarik balik jika didapati menggunakan khidmat atau menggaji doktor palsu.

Dr Noor Hisham berkata tindakan perundangan iaitu didakwa di mahkamah atau dikompaun dan/atau menarik balik atau menggantung Perakuan Pendaftaran atau Lesen, juga boleh diambil kepada hospital atau klinik swasta atau KPJKS yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, tetapi menggunakan khidmat doktor palsu.

“Malah, bagi doktor perubatan atau doktor pergigian yang mengambil khidmat atau menggajikan doktor palsu ini boleh diadukan kepada Majlis Perubatan Malaysia atau Majlis Pergigian Malaysia untuk tindakan di bawah ‘Code of Professional Conduct’,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagaimanapun bagi individu yang menggunakan gelaran ‘Doktor’ bagi tujuan pengiklanan untuk melariskan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, tindakan boleh diambil oleh polis di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan, yang jika didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai boleh menyemak status pendaftaran doktor perubatan melalui portal Majlis Perubatan Malaysia di http://mmc.moh.gov.my/index.php.

Kesahihan doktor pergigian pula boleh disemak melalui portal Majlis Pergigian Malaysia di pautan http://mdc.moh.gov.my/, manakala garis panduan serta doktor mengikut kelayakan dan kepakaran perubatan estetik atau pembedahan kosmetik (plastik surgery) boleh dimuat turun melalui web Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my/images/gallery/Garispanduan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid, menasihati orang ramai agar membuat laporan sekiranya mengesyaki terdapat individu yang menyamar sebagai doktor perubatan, di mana-mana lokasi.

-BERNAMA


Pengarang :