PENDAPATRENCANA

Bahaya influenza dan kaedah rawatan

INFLUENZA ada sejarah panjang yang hitam dalam kehidupan manusia. Pada tahun 2018, genaplah 100 tahun malapetaka kesihatan dalam sejarah moden manusia.

Pada awalnya, 1918, influenza hanya disebut sebagai “selesema Sepanyol”. Namun, masih ramai yang menganggap jangkitan tersebut tidak berbahaya sekalipun virus itu membunuh 650,000 manusia setiap tahun. Lebih parah, influenza merebak pantas, bahkan sentiasa bermutasi hingga muncul virus baru, dari influenza A, B dan C.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu dilaporkan meragut satu hingga dua juta nyawa pada 1957 apabila jangkitan virus yang bermula di China tersebar ke seluruh dunia. Pada 2003, muncul pula influenza A (H5N1), atau selesema burung, yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia tetapi ia hanya dianggap tahap epidemik.

H5N1 tidak menjangkiti manusia kepada manusia. Jangkitan mencapai tahap pandemik apabila virus menyerang dalam skala besar. Umpamanya selesema babi yang bermula di Mexico pada 2009, kemudian merebak ke 214 negara pada kadar cepat.

Dalam masa singkat, kira-kira 105,000 hingga 395,000 orang meninggal dunia akibat selesema babi – digelar sedemikian kerana virus itu bermula dari haiwan berkenaan sebelum ia merebak kepada manusia.

Di Malaysia, kes pertama berlaku pada Mei 2009 apabila seorang pelajar berusia 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat dikesan positif influenza A (H1N1). Mangsa mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan kemudian dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum keadaannya kembali stabil.

Sekitar sebulan kemudian, kes pertama penularan tempatan dikesan di Malaysia apabila seorang pelajar perempuan 17 tahun yang tiada sejarah mengunjungi negara luar dijangkiti. Jangkitan berlaku akibat kelemahan kuarantin.

Sejenis selesema biasa?

Secara am, ada beberapa persamaan antara selesema biasa dengan jangkitan influenza. Seperti simpton selesema biasa, influenza juga menyebabkan hidung berhingus, tersumbat dan bersin akibat jangkitan pada saluran pernafasan. Namun, kadarnya jauh lebih cepat dan lebih bahaya.

Sebenarnya, wabak itu terjadi mengikut musim. Bagi negara beriklim sederhana, penularan jangkitan itu ada variasi yang jelas dengan kemuncaknya berlaku pada musim sejuk. Namun bagi negara rantau tropika termasuk Malaysia, tiada musim penularan influenza yang jelas. Dengan kata lain, ia boleh berlaku sepanjang tahun.

Perbezaan influenza

Ada tiga jenis influenza iaitu A, B dan C. Kategori A dikenal pasti paling berbahaya kerana ia boleh menjadi pandemik. Berbanding influenza B yang hanya menjangkiti manusia, influenza A juga boleh menular kepada haiwan. Keadaan ini menjadikan influenza A lebih mudah tersebar.

Virus influenza A yang menjangkiti haiwan boleh tersebar kepada manusia melalui cecair daripada mulut haiwan. Lazimnya, penternak ayam, itik atau babi mudah dijangkiti. Istilah selesema burung dan selesema babi merujuk kepada virus influenza A yang dijangkiti manusia daripada haiwan. Walaupun kes sedemikian jarang berlaku tetapi simptomnya jauh lebih teruk dan risiko maut lebih tinggi.

Influenza B pula, walau sesekali mendatangkan bahaya, tetapi ia kurang teruk berbanding influenza A. Walaupun sering berlaku tetapi influenza B hanya ditemui dalam kalangan manusia sahaja sekali gus kadar penyebarannya lebih terkawal. Namun, ia berpotensi mengakibatkan simptom yang teruk. Tidak seperti virus A, ia tidak menyebabkan pandemik.

Influenza C juga boleh menjangkiti manusia tetapi lebih ‘ringan’, jarang berlaku dan bukan bersifat epidemik. Kadang kala, orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang tanda.

Simptom

Tanda-tanda dijangkiti boleh dikesan melalui simptom demam panas, batuk, sakit kepala, sakit tekak, menggigil, muntah, sukar bernafas, letih lesu, cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, ada juga kes pesakit mengalami muntah darah. Kerap kali juga jangkitan virus sekadar menyebabkan gejala jangkitan pada orang yang memiliki tahap kekebalan tubuh yang baik.

Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak masing-masing kerana kanak-kanak khasnya berusia bawah lima tahun antara golongan yang mudah dijangkiti. Namun, golongan paling berisiko adalah wanita hamil, warga emas berumur 65 tahun ke atas, individu dengan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau asma, dan individu obes.

Individu yang memiliki daya ketahanan tubuh yang rendah seperti pesakit barah, penghidap HIV, pesakit yang menjalani kemoterapi juga berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Cara paling berkesan untuk mengelakkan dijangkiti ialah melalui pengambilan vaksin kerana ia berkesan untuk semua golongan termasuk kanak-kanak.

Vaksin yang boleh didapati di kebanyakan klinik perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin influenza dikemas kini berdasarkan saranan WHO. Formulasi itu bagi memastikan kandungan vaksin sepadan dengan virus berikutan strukturnya berubah-ubah mengikut musim. Proses itu dikenali sebagai antigenic drift.

Rawatan awal

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar mengamalkan lapan langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

  • Dapatkan rawatan segera jika ada simptom tertentu termasuk demam panas, batuk, sakit kepala, sakit tekak, menggigil, muntah, cirit-birit dan letih lesu.
  • Elakkan berjumpa saudara mara, rakan atau tempat awam.
  • Pakai penutup hidung jika berada di tempat awam.
  • Tutup hidung dan mulut dengan sapu tangan, tuala atau tisu apabila batuk atau bersin. Tisu yang sudah dipakai hendaklah dibuang.
  • Kerap membasuh tangan menggunakan sabun terutama selepas batuk atau bersin.
  • Elak berkongsi barangan peribadi seperti sapu tangan dan tuala.
  • Pastikan pengudaraan dan cahaya yang baik di rumah atau tempat kerja.
  • Bersihkan lantai dan meja yang tercemar dengan cecair hidung dan mulut.

Pengarang :