Wakil Lembaga Zakat Selangor cawangan Hulu Selangor (kanan) menyerahkan sumbangan RM500 kepada mangsa kebakaran, Khailrul Anuar (kiri) di Kampung Kolam Limbongan, Batang Kali pada 3 Januari 2020. Foto FACEBOOK LZS
AGENSISELANGOR

Bantuan segera LZS untuk mangsa kebakaran Kolam Limbongan

SHAH ALAM, 5 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan RM500 kepada sebuah keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kolam Limbongan, Batang Kali, baru-baru ini.

Agensi itu dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, pihaknya menyampaikan sumbangan kecemasan terbabit semasa menziarahi mangsa, Khairul Anuar di lokasi kebakaran, kelmarin.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat menghilangkan sedikit keresahan dihadapi mangsa dan kita akan menyalurkan baki bantuan ke akaun banknya.

“Bersama kita mendoakan supaya mangsa sekeluarga tabah dan sabar di atas musibah menimpa mereka.

“Kita juga berterima kasih kepada pengeluar zakat kerana zakat disalurkan dapat membantu mereka memerlukan,” katanya.

Keadaan rumah Khairul Anuar yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kolam Limbongan, Batang Kali pada 2 Januari 2020. Foto FACEBOOK LZS

Dalam insiden kebakaran kira-kira jam 10 pagi pada 2 Januari lalu, rumah pusaka keluarga terbabit musnah dijilat api dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang menguruskan anaknya pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Utama, Batang Kali.

Sejurus mendapat panggilan, mangsa bergegas pulang untuk melihat keadaan rumah yang hampir 70 peratus terbakar dan hanya mampu melihat serta tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen penting.


Pengarang :