Pengawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim memberi sumbangan kepada Zaidi Zainal Abidin, bapa mangsa kemalangan maut di KM 11 Jalan Banting-Dengkil, Olak Lempit pada 30 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bapa mangsa mahu tindakan segera, bina jejantas

BANTING, 31 JAN: Susulan kemalangan langgar lari yang meragut nyawa Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, di Kilometer 11 (KM) Jalan Banting-Dengkil pada 21 Januari lalu, bapa Allahyarham berharap kerajaan segera membina jejantas bagi mengelak kejadian sama berulang.

Zaidi Zainal Abidin, 44, berkata kemalangan itu bukan kes baharu sebaliknya sudah beberapa kali berlaku sejak beliau menetap di Kampung Olak Lempit 12 tahun lalu.

“Saya merayu kerajaan untuk segera melaksanakan kerja naik taraf lokasi itu setidak-tidaknya bina jejantas, bonggol dan kamera litar tertutup dipasang kerana kami tidak mahu kejadian menimpa anak sulung kami terus berulang.

“Kami sekeluarga tidak sangka arwah pergi sekelip mata. Arwah sangat rapat dengan saya dan isteri. Malah arwah juga rajin, ceria dan rapat dengan adik-adiknya,” katanya.

Lokasi kemalangan maut di KM 11 Jalan Banting-Dengkil, Olak Lempit pada 30 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketika kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Nur Aida Rafhanah bersama rakannya Aina Safiyah Saparin, 13, dikatakan sedang melintas jalan untuk menaiki bas ke sekolah dirempuh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

Nur Aida Rafhanah maut di tempat kejadian manakala Aina Safiyah pula patah tangan kanan.


Pengarang :