Dato’ Teng Chang Khim bergambar bersama penerima pada program Jom Shopping Tahun Baharu Cina 2020 yang berlangsung di Klang Parade, Klangpada 11 Januari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina ceriakan 950 penerima

KLANG, 11 JAN: Seramai 950 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang menerima baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina bagi membeli kelengkapan Gong Xi Fa Cai yang akan disambut pada 25Januari ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata baucar bernilai RM100 untuk setiap orang berkenaan diagihkan secara tiga peringkat bermula minggu lalu.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya memberi keutamaan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) selain penerima berusia bawah 60 tahun bagi menerima sumbangan itu.

“Terdapat 75 peratus atau 60,000 pengundi kaum Cina DUN Bandar Baru Klang. Oleh itu, penerima baucar di DUN ini tinggi berbanding DUN lain.

“Berbanding tahun lalu, tahun ini ada peningkatan 150 orang penerima.

“Justeru, pihak kami mengambil inisiatif bertukar baucar di kawasan DUN yang lain bagi memastikan peratusan penerima bagi semua jenis kaum lebih adil,” katanya pada Program Penyerahan Baucer Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Econsave Klang Parade.

Chang Khim berkata Kerajaan Negeri berhasrat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, penerima Tee Swee Ek, 38, meluahkan rasa gembira apabila kali pertama menerima bantuan baucar yang dimulakan sejak 2008.

Tee Swee Ek

Dia seorang OKU menyifatkan pemberian itu sebagai penghargaan kepada golongan individu tidak bernasib baik sepertinya.

“Saya sangat gembira, ini kali pertama saya terima baucar. Kawan-kawan senasib dengan saya turut menerimanya dan tahun ini kami akan meraikan hari raya lebih meriah,” katanya.

Penerima Mah Thang Ling, 41 pula berkata program ini memberi manfaat kepada penduduk miskin dan wajar diteruskan pada masa akan datang.

“Program ini sangat bagus kerana membantu orang susah membeli keperluan perayaan untuk semua kaum.

“Saya penerima kali pertama dan saya sangat gembira. Terima kasih kepada wakil rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :