Penduduk tempatan melalui kawasan banjir di Rawa Buaya, Jakarta Barat pada 1 Januari 2020. Foto TEMPO.COM
AGENDANASIONAL

Beberapa kawasan di Jakarta dilanda banjir

JAKARTA, 1 JAN: Beberapa kawasan di Jakarta hari ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam, menyaksikan jalan raya utama di ibu kota dinaiki air sehingga satu meter.

Perkhidmatan komuter dan kereta api turut terjejas akibat landasan ditenggelami air sehingga lebih satu meter.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup bekalan elektrik di kawasan tertentu bagi memastikan keselamatan penduduk.

Menurut twitter rasmi Traffic Management Center Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), kawasan yang dilanda banjir adalah Jakarta Selatan, Jakarta Pusat dan Jakarta Timur.

Menurut kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia pula, kota berhampiran Jakarta seperti Bekasi, Tangerang dan Depok, turut mengalami banjir membabitkan kawasan penempatan rendah.

Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisika dalam satu kenyataan berkata hujan lebat di Jakarta diramal berterusan selama tiga hari dan dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan banjir.

Menurut media tempatan, lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur juga tidak dapat beroperasi sejak pagi tadi berikutan landasan digenangi air.

Pengurus Besar Eksekutif Bandara Halim Perdanakusuma, Nandang Sukarna berkata semua penerbangan pagi ini dialihkan ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

-BERNAMA


Pengarang :