AGENDANASIONAL

Bekalan alternatif sejuta vaksin Influenza A bantu klinik swasta

SHAH ALAM 13 JAN: Sebanyak satu juta bekalan alternatif tablet vaksin Influenza A diluluskan Kerajaan Persekutuan kepada klinik swasta yang boleh digunakan 100,000 pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tahun lalu pihaknya menerima stok vaksin sebanyak 600,000 dos, lapor Berita Harian.

“Pada 2 Disember lalu, kita menerima lebih 90,000 dos vaksin dan difahamkan pada 21 Januari ini, lebih 60,000 dos vaksin lagi akan diterima.

“Pihak swasta yang mahukannya boleh memohon bekalan alternatif itu dan ia akan mendapat kelulusan khas pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata bekalan vaksin bagi Influenza A masih mencukupi dalam sektor kerajaan buat masa ini.

“Kita sebelum ini memang ada stok simpanan vaksin berbanding pihak swasta yang tidak menyimpan stok berkenaan.

“Kita ada stok mencukupi. Apabila jadi keadaan seperti sekarang, rakyat memilih untuk mendapatkan vaksin berkenaan di swasta, namun mereka (swasta) tidak menyimpan stok yang banyak.

“Apabila permintaan melebihi bekalan yang ada, itu sebab berlaku kekurangan dan menimbulkan situasi cemas,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, mendakwa klinik swasta berdepan kekurangan kritikal bekalan vaksin untuk pencegahan influenza daripada empat syarikat pembekal utama.

Beliau mendakwa, kekurangan itu berlaku kerana klinik swasta tidak diberi keutamaan untuk mendapatkan bekalan vaksin terbabit berbanding hospital swasta.


Pengarang :