Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bersama Pengarah PPAS, Masturah Muhamad (kanan) serta EXCO Kerajaan Negeri, Dr. Mariah Mahmud (tengah) melawat perpustakaan ketika Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor Daerah Gombak di PPAS Daerah Gombak pada 14 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Belia Selangor diasuh ke arah Revolusi Industri 4.0

GOMBAK, 14 JAN: Kerajaan Selangor akan memastikan anak muda di negeri ini bersedia untuk berdepan Revolusi Industri 4.0 selaras dengan sasaran mencapai Negeri Pintar 2025, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor diharap mencapai sasaran itu dan terus mampu kekal bersaing di peringkat global.

“Jadi persiapan untuk anak-anak kita menghadapi Revolusi Industri 4.0 sebenarnya perlu bermula dari semalam.

“Apabila Revolusi Industri 4.0 mula menghubungkan orang di seluruh dunia, pekerjaan baharu yang memerlukan lebih banyak kemahiran dan pengetahuan telah menguasai ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, dasar Kerajaan Negeri meletakkan pendidikan sebagai salah satu fokus utama juga adalah ke arah mencapai Negeri Pintar 2025.

“Dalam konteks ini, perpustakaan adalah antara ejen transformasi yang penting bagi merealisasikan Gagasan Selangor Smart State.

“Selangor mempunyai rangkaian perpustakaan yang baik sama ada di bandar dan desa. Perpustakaan boleh diibaratkan antara batu bata yang akan mencantum masa depan negeri ini,” katanya.


Pengarang :