AGENDANASIONAL

BSH 2020: Fasa pertama isi rumah dibayar 20 Januari

SHAH ALAM, 6 JAN: Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup 2020 (BSH 2020) bagi kategori isi rumah akan dilaksanakan mulai 20 Januari kepada penerima berdaftar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemberian RM300 bagi setiap isi rumah menggunakan pangkalan data BSH 2019 membabitkan peruntukan RM1 bilion dan memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima.

“Pangkalan data BSH 2019 telah melalui beberapa proses tapisan daripada agensi kerajaan antaranya status pemilikan kenderaan yang realistik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan mereka yang memerlukan sahaja menerima BSH 2020.

“Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019,” katanya dalam kenyataan.

Kategori pendapatan isi rumah yang layak menerima RM300 adalah bawah RM2,000; RM2,001 hingga RM3,000 dan RM3,001 hingga RM4,000.

Katanya, penerima BSH kategori isi rumah di kawasan pedalaman yang mempunyai akaun bank akan menerima pembayaran pada tarikh yang sama (20 Januari) manakala penerima pedalaman yang tiada akaun bank akan menerimanya secara tunai pada 1 Februari.

Guan Eng menjelaskan, baki pembayaran bagi kategori isi rumah akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga manakala bagi kategori bujang dan orang kelainan upaya (OKU) pula akan disalurkan secara ‘one-off’ pada fasa kedua selepas pangkalan data BSH 2020 dikemas kini.

“Dengan adanya proses permohonan dan pengemaskinian ini, sebahagian dalam kalangan yang tidak lulus dan belum menerima BSH masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi (pengesahan) semula,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected].


Pengarang :