AGENDANASIONAL

Bukan baharu, influenza tiada kaitan jangkitan di China

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Walaupun trend jangkitan virus influenza menunjukkan peningkatan, analisa yang dibuat Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mendapati ia bukan virus baharu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga menegaskan jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia ketika ini tiada kaitan langsung dengan wabak radang paru-paru (Pneumonia) yang sedang berlaku di Wuhan, China.

“Analisa semasa itu melibatkan kajian trend influenza meliputi kadar konsultasi kes penyakit serupa influenza dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Alumni Sekolah Tun Fatimah (SK-STJ 73) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan vaksin influenza ditawarkan hospital kerajaan hanya kepada golongan berisiko tinggi seperti pesakit dengan penyakit kronik serta golongan dengan daya ketahanan rendah.

Dr Dzulkefly berkata hanya pesakit yang memenuhi kriteria jangkitan sederhana atau teruk sahaja selepas melalui ujian saringan influenza di hospital akan ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Berhubung dakwaan kehabisan stok ubat dan vaksin, katanya kementerian meminta pembekal untuk mendapatkan stok vaksin influenza dengan kadar segera bagi memenuhi permintaan di negara ini.

Kebanyakan fasiliti kesihatan swasta yang sebelum ini melaporkan kekurangan stok ubat antivirus bagi merawat influenza telah mula menerima bekalan masing-masing.

“Bagi fasiliti Kementerian Kesihatan pula, Pharmaniaga memberi jaminan stok ubat antivirus akan terus dibekalkan tanpa sebarang gangguan bagi memastikan bekalan mencukupi pada setiap masa,” katanya.

Program kempen Derma Darah SK-STF 73 yang diadakan dengan usaha sama Pusat Darah Negara itu berjaya menarik lebih 80 penderma darah daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar ibu negara.

-BERNAMA


Pengarang :