AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dijangka di atas paras 1,600 minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam jajaran kecil antara paras 1,610 dan 1,620 minggu depan di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata para pelabur akan memilih pendekatan tunggu dan lihat minggu depan selepas serangan udara AS pada Jumaat yang membunuh seorang jeneral utama Iran di Iraq.

“Sekiranya ketegangan AS-Timur Tengah memuncak sehingga mencetus perang besar-besaran, kami menjangka indeks utama akan kekal berada di atas 1,600 mata minggu depan, dengan paras sokongan pada 1,605,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut optimis bahawa minat belian dalam saham berkaitan tenaga, saham bermodal kecil dan saham berharga bawah seringgit, akan berterusan minggu depan berikutan aktiviti pembelian semasa harga rendah.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Asia, AxiTrader, Stephen Innes yakin harga minyak mentah yang lebih tinggi akan terus menyokong FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), menjadikan indeks itu tidak susut terlalu rendah di bawah 1,600 mata minggu depan.

“Bagaimanapun saya bimbang masalah AS-Iran bertambah buruk — penghindaran risiko boleh mencetuskan penjualan yang lebih ketara dan harga minyak mentah yang lebih tinggi yang akan menjejaskan pertumbuhan global,” katanya.

Reuters melaporkan harga minyak mentah melonjak lebih empat peratus pada Jumaat berikutan berita bahawa AS telah membunuh Jeneral Qasem Soleimani, menimbulkan kebimbangan baharu mengenai konflik di negara yang kaya dengan minyak itu.

Pada Jumaat, FBM KLCI meningkat 8.88 mata untuk ditutup pada 1,611.38, susulan kenaikan harga minyak mentah yang mendorong pembelian di seluruh papan, terutama dalam saham berkaitan tenaga.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan didagangkan kebanyakannya tinggi disokong aktiviti memperelok akaun dan pembelian semasa harga rendah menjelang Tahun Baharu.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Tahun Baharu.

Pada Selasa, indeks utama berakhir pada paras terendah harian iaitu 1,588.76 disebabkan pengambilan untung akhir tahun.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 0.77 mata kepada 1,611.38 daripada 1,610.61 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 44.91 mata kepada 11,475.50, Indeks FBMT 100 naik 40.26 mata kepada 11,266.92, FBM 70 menambah 194.46 mata kepada 14,377.49, Indeks FBM ACE melonjak 300.81 mata kepada 5,426.07 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 49.27 kepada 12,104.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.20 mata kepada 15,685.74, Indeks Perladangan naik 95.87 mata kepada 7,810.20 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.18 mata kepada 155.96.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 11.58 bilion unit bernilai RM7.60 bilion berbanding 7.66 bilion unit bernilai RM5.05 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 8.49 bilion saham bernilai RM6.85 bilion daripada 5.58 bilion saham bernilai RM4.54 bilion sebelumnya.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 933.45 juta unit bernilai RM161.52 juta berbanding 835.48 juta unit bernilai RM137.16 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 2.09 bilion saham bernilai RM587.24 juta daripada 1.24 bilion unit bernilai RM369.61 juta minggu sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :