AGENDASUKANKINI

Cabaran Asia: Sathianathan mahu pemain pamer aksi terbaik

SHAH ALAM, 17 JAN: Pemain muda dan baharu pasukan Selangor perlu menunjukkan persembahan terbaik dalam Kejohanan Cabaran Asia Selangor (SAC) 2020 untuk menentang kelab dari rantau Asia Tenggara pada esok dan Ahad ini.

Ketua Jurulatihnya B.Sathianathan berkata kejohanan itu peluang yang bagi menguji pemain dan memberi keyakinan tinggi kepada pemain memulakan kempen Liga Malaysia pada musim ini.

“Sememangnya ia kejohanan yang bagus dan memberi peluang kepada penyokong untuk melihat pemain baharu beraksi tetapi ini adalah pramusim jadi keputusan tidak penting yang menjadi tujuan utama adalah persembahan ditunjukkan pemain.

“Dengan kecederaan dialami Nor Hakim Hassan saya tahu ia kehilangan besar buat kami tetapi saya yakin dengan pemain lain. Ada dua tiga pemain bawah 21 saya lihat boleh beraksi dengan baik, jadi saya harap mereka bermain dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Jurulatih Hanoi FC Chu Dinh Nghiem, Jurulatih True Bangkok United FC, Alexandre Polking kejohanan ini.

Kejohanan di Stadium Shah Alam bermula 5 petang hingga 11 malam membabitkan penyertaan tiga pasukan negara jiran iaitu True Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.

Sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Piala Emirates di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai US$10,000 (RM41,353.81) selain piala pusingan sementara naib juara menerima US$5,000 (RM20,676.91).

Penyokong boleh mendapatkan tiket bagi kejohanan itu menerusi laman sesawang Persatuan Bola Sepak Selangor atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 (pemegang kad Red Giants), RM30 (bukan pemegang kad) dan RM5 (kanak-kanak).

-BERNAMA


Pengarang :