Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cadangan mansuh perintah berkurung di ESSZone dipertimbang – KPN

LAHAD DATU, 16 JAN: Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi mempertimbangkan cadangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memansuhkan pelaksanaan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

Katanya, perkara itu telah disuarakan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan percaya Ketua Menteri sedang mendapatkan input lain sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Keputusan ini hanya boleh dibuat menerusi satu mesyuarat khas yang mungkin akan digerakkan oleh Ketua Menteri.

“Kita berharap cadangan ini akan disambut baik dan mendapat kelulusan dan juga diterima baik masyarakat di ESSZone,” katanya kepada pemberita selepas melawat ESSCom di sini.

Abdul Hamid berkata ESSCom juga mencadangkan agar perintah berkurung dikekalkan di empat kawasan panas yang telah dikenal pasti dalam ESSZone, bagi memelihara biologi marin dan keselamatan kawasan sekitar.

Menurutnya, empat kawasan itu ialah Pulau Ligitan di Tawau, Pegasus Reef (Kinabatangan), Alice Reef (Kunak) dan Geem Reef (Lahad Datu).

Perintah berkurung telah dilaksanakan di beberapa daerah di pantai timur Sabah meliputi Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sejak 2015 dari 6 petang hingga 6 pagi.

“Keputusan ini dibuat setelah mengkaji dari segi keberkesanan perintah berkurung tersebut sejak sekian lama dilaksanakan dan situasi keselamatan semasa yang semakin baik dan meyakinkan,” katanya.

Abdul Hamid berkata pemansuhan perintah berkurung itu akan memudahkan nelayan asli di Sabah menjalankan usaha mencari rezeki di laut dan dapat meyakinkan pelancong untuk datang ke Sabah.

Bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di ESSZone, beliau turut menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menjadi sebahagian daripada struktur ESSCom bersama elemen sedia ada, iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan bahagian awam.

“Ini akan memastikan apa jua perancangan dan tindakan, serta masalah berkaitan yang dihadapi dapat dirungkai bersama,” katanya.

Abdul Hamid berkata ESSCom masih releven, namun perlu ditambah baik.

Beliau turut memberitahu penyelamatan tebusan warga Indonesia, yang diculik dari perairan Lahad Datu tahun lepas, oleh kumpulan militan Abu Sayyaf semalam, sekali gus menyelesaikan semua kes penculikan yang berlaku di Sabah.

“Dengan penyelamatan warga Indonesia ini, tiada lagi sebarang tahanan yang melibatkan kejadian penculikan di timur Sabah,” katanya.

Muhamad Farhan Mahruddin, 27, yang diselamatkan Pasukan Petugas Bersama Sulu di Barangay Bato Bato, Indanan, Sulu pada 6.45 petang semalam, kini menerima rawatan di Navarro Camp General Hospital di Sulu, Selatan Filipina dan dijangka diserahkan kepada kerajaan Indonesia selepas selesai rawatan.

Muhamad Farhan diculik bersama dua lain pada 23 September lepas. Dua lain diselamatkan pada 22 Disember lepas.

-BERNAMA


Pengarang :