EXCOSELANGOR

Caj RM1 untuk warga asing, exco kaji mekanisme terbaik

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri akan melaksanakan sistem caj RM1 kepada warga asing untuk bayaran perkhidmatan Bas Smart Selangor menerusi mekanisme terbaik, kata exco kerajaan tempatan pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru.

Ng Sze Han berkata kaedah itu ditetapkan bagi membolehkan rakyat tempatan menggunakan bas itu secara percuma dengan lebih selesa.

“Pelaksanaan caj ini tetap akan dijalankan dalam masa terdekat, namun waktunya sahaja belum dimuktamadkan lagi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Belanjawan Selangor 2020 pada 1 November tahun lalu, mengumumkan Kerajaan Negeri bercadang mengenakan caj RM1 kepada warga asing sebagai bayaran menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor mulai tahun ini.

“Kutipan caj ini akan digunakan untuk menyelenggara serta menambah jumlah laluan Bas Smart Selangor pada masa depan. Pada masa ini, Bas Smart Selangor mempunyai 41 laluan membabitkan 11 kawasan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Kerajaan Negeri juga memberi jaminan akan mengekalkan kelangsungan perkhidmatan itu dengan peruntukan RM30 juta tahun ini.


Pengarang :