Gambar udara menunjukkan tapak pembinaan hospital baharu yang dibina untuk merawat pesakit daripada wabak virus maut di Wuhan di wilayah tengah Hubei China. – Foto AFP
GLOBAL

China bina hospital baharu dalam masa 10 hari tangani koronavirus

BEIJING, 25 JAN: China giat mendirikan sebuah hospital baharu dalam tempoh 10 hari untuk merawat pesakit ketika penularan wabak maut yang menjangkiti ratusan penduduk di negara itu, lapor AFP.

Kemudahan di pusat bandar Wuhan dijangka akan digunakan pada 3 Februari bagi menangani peningkatan jumlah pesakit dijangkiti koronavirus dalam usaha mengekang penyebarannya.

Berpuluh-puluh jentera berat yang sedang giat beroperasi dirakamkan syarikat penyiar tempatan, CCTV.

Hospital itu akan mempunyai kapasiti 1,000 katil membabitkan kawasan lebih 25,000 meter persegi (270,000 kaki persegi), kata agensi berita rasmi Xinhua itu.

Pembinaan bermula sebaik laporan timbul kekurangan katil di hospital yang ditetapkan untuk menangani wabak, yang kini menjangkiti 830 orang di seluruh China.

Xinhua berkata kemudahan baru ini bertujuan untuk “mengurangkan kekurangan sumber rawatan perubatan dan meningkatkan keupayaan untuk menjaga pesakit.”

“Kami telah mengerahkan semua pekerja yang ditinggalkan di Wuhan untuk bekerja kuat dalam memastikan pembinaan sepanjang masa,” kata pengurus kumpulan pembinaan Wuhan Construction, Zhang Chongxi


Pengarang :