AGENDA GLOBAL

China catat 4,515 jangkitan koronavirus, 106 maut

BEIJING, 28 JAN: China mencatatkan 4,515 kes disahkan koronavirus dan jumlah kematian akibat penularan virus baharu itu meningkat kepada 106 orang, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara China.

Menurut agensi berita Sputnik, pihak berkuasa kesihatan itu pada Ahad berkata sehingga 26 Januari, terdapat 2,744 kes disahkan koronavirus, 80 kematian manakala 51 lagi orang dibenarkan keluar hospital.

Dalam tempoh 24 jam lalu, suruhanjaya itu merekodkan 1,771 kes baharu yang disahkan dengan 26 kematian – 24 di wilayah Hubei dan masing-masing satu di Beijing dan di wilayah Hainan. Sembilan orang dibenarkan keluar hospital.

“Pada tengah malam 27 Januari (16:00 GMT Isnin), suruhanjaya menerima maklumat kira-kira 4,515 kes penyakit radang paru-paru disebabkan oleh virus baharu itu, membabitkan 30 wilayah.

“Daripada jumlah itu 976 orang berada dalam keadaan kritikal, 106 maut dan 60 lagi dibenarkan keluar hospital,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Kes jangkitan turut disahkan berlaku di wilayah pentadbiran khas China di Hong Kong, Macau dan Taiwan, masing-masing sebanyak lapan, tujuh dan lima kes.

Di samping itu 6,973 kes disyaki dan 44,132 lagi berada di bawah pemantauan.

Virus baharu itu mula dikesan di bandar Wuhan China pada akhir Disember. Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap risiko global daripada “sederhana” kepada “tinggi,”.

-BERNAMA


Pengarang :