Pasangan berjalan berhampiran Kota Terlarang (belakang) di Beijing sambil memakai penutup mulut untuk berlindung dari koronavirus berasal dari Wuhan – Foto AFP
AGENDAGLOBAL

China hadapi situasi getir perangi penularan koronavirus

WUHAN, 26 JAN: Presiden China, Xi Jinping semalam memberi amaran negara itu berdepan situasi getir, serentak dengan usaha pihak berkuasa mengekang penularan virus yang sudah meragut 41 nyawa dan menjejaskan sambutan Tahun Baharu Lunar.

Negara paling padat penduduk di dunia itu kini sedang bertungkus-lumus memerangi jangkitan virus yang sudah menyerang 1,300 penduduk, menyebabkan semua kemudahan perubatan padat dengan pesakit.

Situasi itu sekali gus memaksa kerajaan membina hospital kedua serta menutup lebih banyak lokasi pelancongan, lapor AFP.

Sementara itu, sambutan perayaan paling penting untuk China terpaksa dibatalkan untuk sekurang-kurangnya 56 juta penduduk apabila pihak berkuasa meluaskan larangan perjalanan di seluruh wilayah Hubei, sebagai sebahagian daripada usaha menghalang virus terbabit dari terus merebak.

Di Wuhan, 450 pegawai perubatan tentera sudah dikerah bagi membantu merawat pesakit di Hubei, iaitu lokasi sebuah pasar hidupan laut dan haiwan hidup dikesan sebagai tempat bermula penyebaran wabak ini.

Semalam, ketika orang ramai sepatutnya meraikan Tahun Baharu, barisan pesakit memenuhi sebuah hospital di bandar dalam keadaan marah dan kecewa.

“Kami menunggu sekurang-kurangnya lima jam untuk berjumpa doktor,” kata seorang wanita yang enggan dikenali.

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an berkata, ada pesakit yang menunggu sehingga dua hari dan ramai di antara mereka membawa kerusi sendiri kerana perlu berbaris lama sebelum berjumpa doktor.

Pihak berkuasa Wuhan dilaporkan sudah memulakan pembinaan hospital baharu yang dijangka mengambil masa dua minggu dengan tambahan 1,300 katil, lapor media rasmi.

Kerja pembinaan hospital pertama sudah dimulakan Jumaat lalu dan boleh digunakan dalam tempoh seminggu lagi.

Kedua-dua hospital berkenaan memiliki saiz menyamai premis kesihatan sementara yang dibina bagi menangani wabak SARS di Beijing pada 2003 dan mengorbankan 650 penduduk di tanah besar serta Hong Kong.


Pengarang :