AGENDABERITA UTAMANASIONAL

China mudahkan permohonan visa rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 20 JAN: Permohonan warga Malaysia untuk mendapatkan visa masuk berganda ke China dipermudahkan lagi bermula hari ini bagi menggalakkan perjalanan rakyat kedua-dua negara.

Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia memaklumkan selain dokumen asas seperti pasport, borang permohonan visa dan gambar, pemohon juga perlu menyertakan dokumen sokongan berdasarkan jenis visa yang dimohon, lapor Sinar Harian.

“Antara visa berganda yang dikeluarkan termasuk mereka yang berhasrat ke China sebagai pelancong (L-Visa), urusan komersial dan perdagangan (M-Visa) dan melawat saudara-mara warga China (Q2-Visa).

“Selain itu, ia termasuk visa melawat saudara-mara rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di China atau atas urusan persendirian seperti rawatan perubatan (S2-Visa),” kata kedutaan itu dalam kenyataan.

Kedutaan itu berkata setiap visa mempunyai garis panduan bagi kemasukan berganda bermula tiga bulan hingga lima tahun dengan menyertakan butiran perjalanan, tempahan hotel dan rekod perjalanan ke China sebelum ini.

Permohonan boleh dibuat dengan merujuk kepada laman sesawang rasmi Pusat Perkhidmatan Visa China di Malaysia.


Pengarang :