AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang ditutup akibat influenza A

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Penularan kes jangkitan influenza di negara ini menyaksikan dua buah kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Pulau Pinang ditutup selama 12 hari bermula hari ini.

Penutupan itu susulan 19 murid di dua kelas itu dijangkiti influenza.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata murid-murid itu telah menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan selesema sebelum pemeriksaan di klinik mendapati mereka dijangkiti influenza.

“Berdasarkan maklumat, enam daripada 19 murid itu sedang menerima rawatan di dua buah hospital swasta, manakala yang lain telah mendapatkan pemeriksaan serta rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan serta swasta. Semua mereka dalam keadaan stabil.

“Pemeriksaan oleh pasukan perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ke atas 72 lagi murid di Kelas 2 Taat dan 2 Damai itu semalam mendapati mereka tidak mengalami simptom influenza, namun mereka turut diberi cuti sehingga 19 Januari ini. Dua kelas itu akan dibuka semula pada 20 Januari,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Terdahulu Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan telah menerima laporan penutupan sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa buah negeri lain apabila ada dalam kalangan muridnya disahkan positif influenza A.

Pihak sekolah telah diminta supaya mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan, dengan sebarang operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Di Selangor, Pengarah Pendidikan Negeri Dr Mahanom Mat Sam berkata tiada penutupan mana-mana sekolah dilakukan setakat ini berkaitan wabak Influenza A.

Katanya, hanya 10 pelajar pelbagai darjah di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya sahaja yang dikuarantin sementara di rumah masing-masing kerana dikhuatiri dijangkiti virus wabak berkenaan.

“Buat masa ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor belum menerima maklumat mengenai penutupan mana-mana sekolah di negeri ini berkaitan wabak Influenza A.

“Namun, pelajar yang dikhuatiri dijangkiti virus berkenaan diberi cuti kuarantin sejak Isnin lepas hingga Jumaat ini. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan terus memantau mengenai perkembangan penularan wabak berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi semakan Bernama dengan beberapa Jabatan Kesihatan Negeri seperti di Kedah, Perlis, Perak dan Sabah, tiada kes influenza A dikesan berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :