BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dua minggu, 306 kes denggi dicatat di Selangor

SHAH ALAM, 12 JAN: Trend peningkatan wabak denggi bukan hanya berlaku di Selangor malah di seluruh negara, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 306 kes denggi dicatatkan setakat semalam di Selangor menjadikan kes terkumpul mangsa terkena denggi di negeri ini dalam tempoh dua minggu meningkat kepada 3,708 sejak 29 Disember 2019.

“Dalam dua minggu ini, kes denggi meningkat di seluruh negara dan ia bukan hanya di Selangor kerana negeri-negeri lain juga banyak kes denggi sekarang ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah berusaha dengan pelbagai cara bagi menangani wabak denggi tetapi trend wabak ini terus meningkat yang mungkin berpunca daripada musim hujan.

Katanya, pihaknya menjangka penularan wabak denggi akan terus meningkat bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Oleh itu, Mariah menyeru setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin komuniti dan penduduk supaya lebih peka menjaga kebersihan di kediaman masing-masing.

“Kes denggi dicatatkan paling tinggi berlaku di daerah Petaling, jadi kita mahu PBT dan Jabatan Kesihatan Negeri terus memerangi masalah ini dengan lebih berkesan.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta sudah disalurkan, oleh itu program ‘back to basic’ seperti memusnahkan tempat pembiakan di tapak terbengkalai perlu lebih efektif,” katanya.

Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan memaklumkan selain Selangor yang mencatatkan 306 kes setakat semalam, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (27 kes) dan Johor (26 kes).

Menerusi Belanjawan #Selangor2020, Kerajaan Negeri memperuntukan RM5 juta bagi memastikan negeri ini bebas denggi merangkumi aktiviti pencegahan dan kawalan.


Pengarang :