Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
PBTSELANGOR

Dua PBT sedia bina kawasan merokok, tunggu panduan KPKT

SHAH ALAM, 10 JAN: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedia menyediakan kawasan khas merokok seperti yang dicadangkan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata pihaknya akan mengenal pasti kawasan sesuai untuk dijadikan kawasan khas merokok di tempat awam.

Katanya, model dan konsep yang bersesuaian termasuk projek perintis Senario Ampang dan Santai@Ampang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga akan diteliti.

“MDKS menyambut baik penyaluran peruntukan berkenaan dan akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melaksanakannya,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah bagaimanapun berkata sebarang pembinaan struktur kekal ruangan khas merokok yang mahu didirikan oleh pemilik restoran perlu menggunakan modal sendiri dan memohon kelulusan daripada MDKS.

“Sebarang kelulusan akan tertakluk kepada garis panduan yang bakal dikeluarkan oleh KPKT,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya mengalukan cadangan baharu terbabit dan menunggu garis panduan yang ditetapkan KPKT.

“Setakat ini, kita belum ada apa-apa perancangan untuk menyediakan tempat merokok yang khusus tetapi kita bersedia laksanakannya jika garis panduan dikeluarkan nanti,” katanya.

Manakala, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad pula berkata perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu supaya tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Pada 7 Januari lalu KPKT mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PBT yang mengemukakan permohonan membina kawasan khas merokok di tempat awam.


Pengarang :