Nur Amni Zahra bersama bapa Khairul Azmi Halim dan ibu Siti Noraini Shaari ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chengal Pulas hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dukung anak OKU ke sekolah, ibu rayu sumbangan kerusi roda

PASIR PUTEH, 17 JAN: Nur Amni Zahra Khairul Azmi, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram normal, namun mengalami masalah ukuran kaki tidak seimbang yang menyebabkannya terpaksa merangkak.

“Saya terpaksa mendukungnya setiap hari untuk masuk ke kelas di tingkat dua,” demikian kata Siti Noraini Shaari yang merayu mana-mana pihak untuk menyumbang kerusi roda dan tongkat bagi memudahkan pergerakan anaknya.

Katanya, pada waktu rehat dia akan menunggang motosikal kira-kira tiga kilometer untuk menghantar makanan kepada anaknya yang tidak dapat turun bersendirian ke kantin.

“Bantuan kerusi roda dapat meringankan beban membawa Nur Amni Zahra ke kantin sekolah mahupun ke tandas tanpa menyusahkan orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Chengal Pulas di sini, semalam.

Siti Noraini, 34, berkata dia pernah menghantar anaknya ke kelas khas di SK Kamil 2, namun anaknya enggan belajar di situ kerana tidak mempunyai masalah pembelajaran malah mampu menulis dan membaca dengan baik seperti kanak-kanak normal yang lain.

Bapa Nur Amni Zahra, Khairul Azmi Halim, 34, berkata dia tidak mampu membeli kerusi roda dan tongkat kerana hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

“Selepas ditolak sewa rumah RM100 sebulan, pendapatan saya hanya cukup makan sahaja dan mempunyai seorang lagi anak, Nur Fariana, 12, yang belajar di SK Gong Garu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Nur Amni Zahra mendapat bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Individu yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui Bank Islam menerusi nombor akaun 03090020758008 atas nama Khairul Azmi Halim.

-BERNAMA


Pengarang :