Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

e-Tunai dapat sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Program e-Tunai rakyat mendapat sambutan luar biasa, selepas ketiga-tiga platform e-pembayaran melaporkan lonjakan bilangan pengguna.

Touch n Go eWallet, Boost dan Grap Pay berkata jumlah trafik meningkat dengan ketara selepas program itu dimulakan pagi tadi.

“Sehingga 12 tengah hari, kapasiti aplikasi mencerminkan peningkatan dalam pemprosesan trafik pengguna semakin bertambah dan (kami) melihat kadar kejayaan lebih tinggi dalam bilangan pembuat tuntutan,” menurut kenyataan Touch n Go hari ini.

Aplikasi e-pembayaran itu turut membuat pelbagai tawaran bagi menarik orang ramai menggunakan platform mereka dalam tuntutan e-kredit RM30.

Boost menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM8,888 dan Touch ‘ n Go eWallet menawarkan kepada pengguna RM30 tunai kembali serta peluang untuk memasuki pertandingan cabutan bertuah mingguan dengan hadiah seperti Proton X70.

Sementara itu, Grab Pay memberikan baucar tunai bernilai sehingga RM3,000.

Jurucakap Grab memberitahu, 30 peratus daripada pengguna hariannya mendaftar program e-tunai rakyat dalam tempoh dua jam pertama pelancaran, sambil menambah bahawa ia tmengambil langkah  memastikan kestabilan platformnya.

Di bawah program ini, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui mana-mana aplikasi e-dompet terlibat.

Wang diperolehi di bawah program ini perlu dibelanjakan antara 15 Januari hingga 14 Mac 2020, dan mana-mana bahagian yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :