Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
NASIONAL

e-Tunai: Langkah penting pacu ekonomi digital tingkat kuasa beli rakyat

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Program e-Tunai Rakyat yang merupakan inisiatif menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai menerima sambutan baik rakyat sejak dilancarkan pada 15 Januari 2020, kata menteri komunikasi dan multimedia.

Gobind Singh Deo berkata agihan dibuat melalui platform pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet itu langkah positif dan penting meningkatkan kuasa beli rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ia juga merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Gobind berkata inisiatif itu mempercepatkan penggunaan e-dompet dalam masyarakat dan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk runcit.

katanya ekonomi digital mampan dan rancak menarik pelaburan lebih berkualiti dan menjana pekerjaan bernilai tinggi supaya jurang pendapatan dirapatkan.

Dianggarkan 15 juta rakyat layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan bermula Khamis (15 Januari) sehingga 14 Mac.

Di bawah program itu, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui aplikasi e-dompet terlibat.

-BERNAMA


Pengarang :