Dato’ Teng Chang Khim bergambar pada majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Invest Selangor dan Malaysia Green Technology Corporation sempena Ekspo 2020 Dubai di pejabat Invest Selangor pada 22 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ekspo 2020 Dubai medan Selangor kongsi idea perdagangan

SHAH ALAM, 22 JAN: Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung pada Oktober menjadi medan terbaik untuk Selangor berkongsi idea bersama peserta industri perdagangan dari 192 negara, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ekspo bertemakan ‘menghubungkan minda, mewujudkan masa depan’ memberi peluang mempromosi dagangan secara keseluruhan, sekali gus menjadikan Selangor gerbang pelaburan utama di Asean.

“Ini adalah ekspo dunia pertama di rantau Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan selama enam bulan. Selangor akan menyertainya dari 28 Mac hingga 3 April 2021.

“Justeru, setiap agensi kerajaan terutama syarikat berkaitan kerajaan perlu bersama mencari idea untuk dipamerkan sepanjang ekspo bagi sasaran pelaburan,” katanya.

Dato’ Teng Chang Khim menyaksikan majlis memorandum perjanjian antara Invest Selangor dan Malaysia Greentech sempena Ekspo Dubai 2020 di pejabat Invest Selangor pada 22 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau memberitahu media pada majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Invest Selangor dan Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) di pejabat agensi penggalak pelaburan negeri di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia Shamsul Bahar Mohd Nor.

Agensi kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dilantik sebagai pelaksana untuk Pavilion Malaysia di ekspo berkenaan.

Menerusi perjanjian itu, Selangor akan menggunakan ruang seluas 12,000 kaki per segi dalam Pavilion Malaysia untuk mengendalikan aktiviti jaringan dan forum promosi pelaburan.


Pengarang :