AGENDANASIONAL

Empat entiti terima wang besar daripada akaun peribadi Najib

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa UMNO, Wanita MCA, Syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Syarikat Perano Sdn Bhd telah menerima sejumlah besar wang daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata penerimaan wang dalam jumlah yang begitu banyak daripada seorang perdana menteri (kini bekas) telah menimbulkan syak wasangka.

Beliau berkata Syarikat Perano sebagai contoh menerima ratusan ribu ringgit untuk pembayaran pembekalan tudung membabitkan projek Barisan Nasional (BN) dan pembayaran berkenaan sepatutnya dibuat daripada tabung UMNO atau BN, sebaliknya wang itu diterima daripada akaun peribadi Najib.

“Syarikat Binsabi pula terima bayaran bagi pembekalan khemah juga untuk kegunaan parti tetapi bayaran bukan dari akaun parti. Bagaimana seorang perdana menteri boleh keluarkan cek hampir RM1 juta untuk bayar, justeru ada syak yang munasabah mana datang duit begitu banyak daripada akaun seorang individu.

“Manakala UMNO dan Wanita MCA pula ialah organisasi bukan mencari keuntungan dan mereka sukar untuk menjana pendapatan yang banyak. Namun, dalam kes ini kedua-dua pihak telah terima lebih daripada RM200 juta, bagaimana parti politik boleh terima jumlah yang begitu besar daripada seorang perdana menteri,” katanya.

Mahadi berkata demikian pada prosiding permohonan untuk melucut hak wang berjumlah hampir RM194 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada empat entiti itu yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam permohonan mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu, pihak pendakwaan memohon untuk melucut hak wang RM192 juta daripada UMNO, Wanita MCA (RM300,000), Syarikat Perano (RM337,000) dan Syarikat Binsabi (RM827,250).

Mengenai dakwaan responden bahawa mereka tiada pengetahuan mengenai sumber wang yang diterima, Mahadi berkata ia bukan satu pembelaan yang kuat.

“Ketika penerimaan (wang) mereka tiada pengetahuan tetapi ketika sitaan mereka tahu dari mana sumber wang itu. Sekiranya wang yang diterima dilupuskan sepenuhnya, mereka boleh lucut hak kepada kerajaan dengan dua cara iaitu menggantikannya semula di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA atau dengan cara rela hati (pulangkan) seperti yang telah dibuat dalam beberapa kes sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili UMNO, Datuk Hariharan Tara Singh berhujah bahawa pendakwaan telah menggunakan peruntukan yang salah di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 61 AMLATFPUAA dalam memfailkan permohonan lucut hak itu.

Beliau berkata, apabila pendakwaan memfailkan permohonan itu, mereka sedar bahawa Mahkamah Tinggi lain masih lagi mendengar kes 1MDB Najib mengenai pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

“Pihak pendakwaan sepatutnya memfailkan permohonan mereka di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA,” katanya.

Seksyen 55 akta itu memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk melucut hak setelah orang yang dituduh telah disabitkan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 6 Februari untuk membuat keputusan.

Wanita MCA diwakili peguam Datuk Ben Chan, Perano diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman manakala Binsabi diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan.

– BERNAMA


Pengarang :