AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Empat lagi ditahan disyaki sebar berita palsu koronavirus

SHAH ALAM 29 JAN: Empat lagi individu ditahan disyaki sebar kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus 2019 dalam operasi berasingan sekitar Melaka, Kedah dan Pahang hari ini, kata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan medianya berkata operasi dijalankan dengan kerjasama polis di antara jam 11 pagi hingga 5 petang tadi.

Kata mereka yang ditahan adalah seorang tutor sambilan berusia 49 tahun di Alor Setar, Kedah, kerana memuat naik kandungan palsu di laman sosial Facebook miliknya, Sabtu lalu.

“Dua lagi yang ditahan di Melaka adalah pembantu farmasi berusia 25 tahun dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, sekitar jam 4 petang selepas disyaki memuat naik berita palsu dalam akaun Facebook mereka Ahad lalu.

“Seorang lagi adalah pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berusia 24 tahun, yang ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang, selepas didapati berkongsi kandungan palsu wabak koronavirus 2019 di laman Twitter, kelmarin,” katanya.

Susulan tangkapan semua suspek itu, SKMM merampas empat telefon bimbit; lima kad sim; dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan koronavirus 2019 di media sosial.

Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.


Pengarang :