AGENDAJENAYAH

Empat lelaki disyaki edar air ketum campur ubat batuk ditahan

KOTA BHARU, 4 JAN: Empat lelaki termasuk tiga warga Thailand ditahan dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, Pasir Mas malam tadi dipercayai terlibat dalam pengedaran air ketum yang dicampur ubat batuk.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata kesemua suspek berumur 22 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi di sekitar Pasir Mas bermula jam 6.30 petang hingga 11.30 malam tadi.

Katanya ubat batuk, daun serta air ketum yang sudah dipaket untuk dijual yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dirampas dalam operasi itu.

“Dalam serbuan pertama di Jalan Besar Rantau Panjang pada jam 6.45 petang semalam pihak kami berjaya menahan tiga lelaki Thailand dan berjaya merampas 82 botol ubat batuk (9.84 liter), 57 bungkus cecair kehitaman disyaki campuran air ketum dan ubat batuk (34.2 liter) dan satu jag berisi satu liter cecair kehitaman juga disyaki campuran ubat batuk dan air ketum.

“Serbuan kedua pula pasukan kami menahan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun selepas pemeriksaan di bawah rumahnya menemui sebanyak 216 botol mengandungi 23.76 liter cecair disyaki ubat batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata turut dirampas bersama tiga lelaki warga Thailand yang ditahan itu adalah wang tunai berjumlah RM607 dipercayai wang hasil jualan air ketum berkenaan.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua daun ketum yang diproses diperolehi dari Kedah. Air rebusan daun ketum yang dicampur dengan ubat batuk dijual kepada pelanggan dengan harga RM20 sebungkus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :