EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

EXCO: Dapatkan maklumat tepat, baca artikel sahih

SHAH ALAM, 27 JAN: Masyarakat dinasihatkan merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membaca artikel sahih berhubung jangkitan koronavirus, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyebaran berita palsu boleh mencetuskan panik dan kerisauan berlebihan dalam kalangan masyarakat.

“Saya mohon apa-apa tularan di media sosial mengenai wabak koronavirus tanpa sumber sahih tidak dipanjangkan kepada kumpulan lain. Hanya kenyataan dari KKM dan pihak berkuasa sahaja perlu diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengelakkan perjalanan ke China jika tiada keperluan selain tidak mengunjungi tempat sesak.

“Amalkan kebersihan diri dan membasuh tangan dengan sabun atau antiseptik terutama di tempat awam mahupun hospital dan memakai penutup hidung dan mulut jika batuk atau selsema,” katanya.

Semalam, tular berita palsu yang mendakwa seorang warga emas dari China meninggal dunia akibat koronavirus di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor Bahru.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata warga emas dari Singapura berusia 78 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.


Pengarang :