EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian melakukan gimik perasmian penutupan Program ICT Bootcamp Selangor di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada 13 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: ICT Boot Camp platform terbaik pelajar bangunkan aplikasi

KAJANG, 13 JAN: Program ICT Boot Camp Selangor 2019 landasan terbaik kepada pelajar sekolah memupuk minat untuk membangunkan aplikasi digital selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata program yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri dengan peruntukan sejumlah RM220,000.

Katanya, ia bertujuan merangsang daya kreativiti dan inovasi pelajar terutama berkaitan bidang Sains dan Multimedia selain membangunkan potensi pelajar melalui kemahiran komunikasi.

“Memandangkan zaman sekarang ramai pelajar kurang minat terhadap ilmu sains dan teknologi jadi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membuat program ini supaya dapat memupuk minat mereka.

“Malah, saya dimaklumkan sepanjang enam hari pelaksanaannya ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan penglibatan seramai 300 pelajar dari seluruh Selangor,” kata Hee Loy Sian selepas merasmikan Program ICT Boot Camp Selangor 2019 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Selain itu, Loy Sian berkata pihaknya optimis program itu akan ditambah baik lagi pada masa akan datang dengan pembabitan lebih ramai pelajar.

Menerusi program ICT Boot Camp Selangor 2019 pelajar akan didedahkan dengan empat kursus iaitu Kursus Pembangunan Infografik dan Videografik; Kursus Rekabentuk Aplikasi Mudah Alih; Kursus Pembinaan Laman Sesawang dan Pembentangan Kreatif serta Kursus Pembangunan Permainan Mudah Alih.


Pengarang :