EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Exco saran jaga kesihatan elak jangkitan influenza A

SHAH ALAM, 10 JAN: Orang ramai disaran menjaga kesihatan terutama ketika musim jangkitan influenza A semakin merebak di negeri ini, kata exco kesihatan kebajikan pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata walaupun penularannya masih terkawal namun langkah berjaga-jaga adalah penting terutama di kalangan ibu bapa bagi memastikan anak mereka sentiasa terkawal dan tidak terdedah dengan penyakit itu.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak kerap ke kawasan mudah terdedah contohnya di pusat membeli belah atau taman permainan.

“Masyarakat juga disaran lebihkan minum air mineral, memakai penutup muka dan hidung, menggunakan tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, perkongsian peralatan peribadi seperti tuala dengan individu lain perlu dielakkan selain mendapatkan rawatan segera jika menghadapi batuk, demam atau sakit tekak.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan penularan influenza A di Selangor terkawal dengan pemantauan berterusan supaya tidak merebak ke kawasan lain namun Kerajaan Negeri akan memberikan pelepasan cuti sekolah sekiranya jangkitan terus meningkat.

Semalam, SelangorKini melaporkan 21 kes influenza A dikesan di lapan sekolah seluruh Selangor sejak 1 Januari, namun tidak membabitkan penutupan sekolah.

Jumlah itu membabitkan 20 pelajar di empat daerah Petaling Utama dan masing-masing satu di Sepang, Kuala Langat, Klang serta Petaling Perdana termasuk seorang guru wanita di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang, Kuala Langat.


Pengarang :