EXCOSELANGOR

Exco: Terpulang PBT bina kawasan khas merokok

SHAH ALAM, 8 JAN: Selangor menyerahkan keputusan membina kawasan khas merokok seperti yang dicadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru berkata keputusan itu tidak perlu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana peruntukan berkenaan akan disalur kepada PBT.

“Kerajaan Negeri dan PBT sentiasa menyambut baik dasar Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam perkara ini.

“PBT akan memanfaatkan setiap peruntukan dengan sebaiknya untuk melakukan apa-apa yang terbaik,” katanya kepada SelangorKini.

Ng Sze Han berkata pembinaan kawasan khas itu kelak mengikut keperluan PBT masing-masing.

Semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada PBT yang mengemukakan permohonan kepada kementerian selepas mengenal pasti lokasi pembinaannya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya menunggu garis panduan pembinaan tempat khas itu daripada KPKT.

“Setakat ini, kita belum ada apa-apa perancangan untuk menyediakan tempat merokok yang khusus tetapi kita bersedia laksanakannya jika garis panduan dikeluarkan nanti,” katanya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad pula berkata perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu supaya perancangan dan tindakan selanjutnya dilaksanakan.


Pengarang :