Selangorkini
Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad. Foto SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Fast Track SPM Huffaz mula Februari ini – Jais

SHAH ALAM, 15 JAN: Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Huffaz dengan peruntukan RM1.9 juta  Kerajaan Negeri bakal dimulakan Februari ini di dua lokasi di setiap daerah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahzihan Ahmad berkata peruntukan itu melibatkan bayaran antaranya kepada guru pakar, pembelian buku teks, buku rujukan dan buku latihan untuk lapan mata pelajaran teras serta program seminar peperiksaan SPM.

“Program dengan kerjasama Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (Pitas) itu ditawarkan kepada 420 pelajar yang layak dan terpilih.

“Menerusi program ini calon hanya dikenakan bayaran bagi menduduki SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441/2020M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Pada masa sama, Shahzihan berkata Jais turut mengkuatkuasakan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Arab di kesemua Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) sejak 20 November lalu bagi meningkatkan kedudukan dan daya saing penghafaz al-Quran.

“Malah, kita juga turut bekerjasama dengan agensi terpilih untuk memberi pendidikan kemahiran robotik percuma kepada 200 pelajar terpilih pada awal tahun ini bagi meningkatkan kemahiran insaniah.

“Ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri, Jais dan Majlis Agama Islam Selangor komited untuk terus menjaga dan meletakkan selayaknya huffaz Selangor,” katanya.


Pengarang :