AGENDA JENAYAH

Felcra tiada kuasa lulus pelaburan berkaitan saham – Saksi

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) tidak mempunyai kuasa untuk membuat kelulusan pelaburan berkaitan bidang saham dan perlu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), sekiranya ada.

Bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof, 60, berkata, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk mana-mana kategori pelaburan saham tanpa kelulusan MKD kerana pelaburan Felcra hanya dihadkan dalam bidang berkaitan perniagaan utamanya iaitu perladangan dan pengilangan.

“Pelaburan dalam negeri melebihi RM125 juta perlu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan perakuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (ketika itu).

“Bagi pelaburan luar negara sama ada secara usahasama bersama pihak lain ataupun persendirian, Felcra perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry pada hari kedua perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya yang juga seorang pelakon, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad.

Adnan yang pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Setiausaha Syarikat Felcra dari 1998 hingga 2014 berkata, perkara berkaitan kuasa kelulusan itu boleh dirujuk di dalam Surat Kementerian Kewangan bertarikh 18 Mac 2014 yang bertajuk “Peningkatan Had Kuasa Lembaga Pengarah Untuk Meluluskan Pelaburan Berkaitan Core Business FELCRA Berhad” yang berada dalam simpanannya ketika itu.

Saksi itu turut mengesahkan pelantikan tertuduh pertama iaitu Bung Moktar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada 17 Julai 2013.

“Tempoh perkhidmatan beliau adalah selama tiga tahun bermula 17 Julai 2013 sehingga 16 Julai 2016 dan disertakan dengan terma dan syarat perkhidmatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif.

“Pengerusi Felcra Berhad adalah Pengerusi Bukan Eksekutif yang dilantik oleh MKD dan dibayar elaun bulanan dan elaun menghadiri mesyuarat seperti yang ditetapkan oleh badan itu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Mohamad Fadhly sekiranya terdapat perbezaan tugas bagi Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif, Adnan menjawab ‘Ya’.

Mohamad Fadhly: Boleh terangkan perbezaan itu?

Adnan: Pengerusi Bukan Eksekutif bertindak bagi mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah manakala Pengerusi Eksekutif kuasanya membabitkan pentadbiran harian syarikat.

Mohamad Fadhly: Adalah Pengerusi Bukan Eksekutif mempunyai kuasa untuk mengundi?

Adnan: Ya, ada.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor sekiranya matlamat Felcra, iaitu untuk menyatukan dan memulihkan kembali tanah-tanah terbiar, selepas badan itu dikorporatkan pada 1997, saksi itu menjawab ‘Ya’.

Roslan: Boleh kamu terangkan perbezaan Felcra sebelum dan selepas dikorporatkan?

Adnan: Sebelum dikorporatkan, Felcra adalah badan kerajaan yang tidak dibenarkan berurus niaga namun selepas dikorporatkan, Felcra boleh menjana pendapatan sendiri dan meningkatkan produktiviti selain tidak lagi menjadi bebanan perbelanjaan kepada kerajaan.

Roslan: Adakah peranan lembaga pengarah syarikat juga berbeza selepas dikorporatkan?

Adnan: Sebelum dikorporatkan, Felcra bertanggungjawab kepada kerajaan dan menjawab kepada Parlimen tetapi selepas dikorporatkan kesemuanya menjadi tanggungjawab lembaga pengarah.

Pada prosiding semalam, Bung Moktar mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pindaan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.​​​​​​​

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 10 Januari.

– BERNAMA


Pengarang :