Keadaan Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya yang mengalami mendapan tanah dan retakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Flat retak: Penduduk hidup dalam ketakutan

PETALING JAYA, 16 JAN: Penduduk di Flat Petaling Perdana di sini hidup dalam ketakutan apabila keretakan dan mendapan di kediaman mereka semakin serius.

Seorang penduduk, Mohsin Abdullah, 66, berkata sehingga kini tiada tindakan susulan walaupun laporan dibuat berkali-kali kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Badan pengurusan bersama flat ini pula tidak berfungsi, sekali gus menyukarkan kita membuat aduan kepada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui media.

Seorang lagi penduduk, A Ramathan, 65, yang menetap di flat itu lebih 15 tahun menyifatkan nyawa penduduk ibarat di hujung tanduk.

“Sekarang yang terjejas dinding luar dan dalam rumah di aras bawah. Kita tidak mahu keretakan merebak hingga ke tingkat atas atau 10 blok lain yang ada di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 17, Mohamad Akhir Pawan Chik akan membawa isu berkenaan dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Tinjauan SelangorKini mendapati rekahan di bahagian dinding di tebing longkang yang terhasil akibat mendapan berkedalaman kira-kira 0.22 meter, manakala rekahan di hadapan pintu rumah berkedalaman lebih satu meter.


Pengarang :