Prof Dr Azizan Abdullah memperkenalkan Ketua Jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt pada sidang media di Bilik Mesyuarat LPU, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam pada 3 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Frank Bernhardt ketua jurulatih baharu UiTM FC

SHAH ALAM, 3 JAN: Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, Frank Bernhardt dilantik sebagai pembimbing baharu skuad UiTM FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2020.

Presiden UiTM FC, Prof Dr Azizan Abdullah berkata, pelantikan Bernhardt mengendalikan The Lion Troops berkuatkuasa selama setanun.

Katanya, beliau yakin pengalaman Bernhardt yang pernah menjadi ketua jurulatih beberapa kelab profesional di Estonia dan Azerbaijan mampu mempimpin UiTM FC yang rata-rata dibarisi pemain muda universiti.

“Sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih di sini, beliau bertugas sebagai jurulatih dan pengurus kepada ‘Fundacion Real Madrid Clinic’.

“Malah pengalaman beliau di Malaysia dari 2015 hingga 2017 memudahkan lagi dirinya memahami corak dan perjalanan bola sepak negara sekali gus merencana dan membina pasukan UiTM FC bagi musim 2020,” katanya dalam sidang media ketika Majlis Pelantikan Ketua Jurulatih UiTM FC di sini, hari ini.

Presiden UiTM FC, Prof Dr Azizan Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Azizan yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pihaknya telah membuat perancangan teliti dan komprehensif bagi menyediakan pasukan bagi musim ini.

“Kami (UiTM FC) telah menyelesaikan pemilihan dan pelantikan barisan kejurulatihan, manakala pemilihan pemain tempatan hampir selesai dan pemain import sedang menjalani latihan percubaan bersama kami.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ketua jurulatih telah mengenal pasti pemain yang sesuai dengan corak taktikal beliau,” katanya.


Pengarang :