Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama maskot Ultraman Zero bergambar bersama murid-murid sekolah pada Majlis Meraikan Pelajar Tahun Satu dan Waris di Sekolah Kebangsaan Taman Awana Jalan Langgar pada hari pertama persekolahan 1 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gelagat murid Tahun Satu warnai sesi persekolahan 2020

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Pelbagai gelagat murid Tahun Satu mewarnai hari pertama sesi persekolahan 2020 di empat negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan hari ini.

Ada yang menangis kerana ditinggalkan ibu bapa, tidur dalam kelas, malah tidak kurang juga ramai yang teruja berkenalan dengan rakan baharu, antara telatah yang sempat dirakamkan oleh lensa jurugambar Bernama yang membuat tinjauan di sekolah-sekolah di negeri berkenaan.

Menurut Takwim Penggal Persekolahan 2020, kesemua negeri itu dikategorikan sebagai Kumpulan A dan mengikut rekod lebih 130,000 murid Tahun Satu dan 106,391 pelajar Tingkatan Satu mula sesi persekolahan untuk keempat-empat negeri hari ini.

Bagi negeri lain akan memulakan hari persekolahan esok.

Di Johor, mengikut Jabatan Pendidikan Negeri seramai 53,372 murid Tahun Satu; 47,179 pelajar Tingkatan Satu, selain 20,590 kanak-kanak (prasekolah) memulakan persekolahan di 1,189 sekolah.

Sementara itu, di Kedah kira-kira 60,000 murid memasuki Tahun Satu dan Tingkatan Satu di lebih 700 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata, hari pertama sesi persekolahan di kesemua sekolah itu berjalan lancar.

Di Terengganu, seramai 21,595 pelajar Tahun Satu memasuki sekolah rendah manakala 18,178 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di sekolah menengah.

Pengarah Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, secara keseluruhan jumlah pelajar sekolah rendah di negeri itu adalah 128,609 pelajar manakala sekolah menengah mencatatkan 96,956 pelajar.

Katanya, pada tahun ini terdapat 22,533 guru berkhidmat di seluruh sekolah di Terengganu.

Di Kelantan, seramai 27,900 pelajar Tahun Satu memulakan sesi persekolahan mereka manakala seramai 11,034 pelajar memasuki Tingkatan Satu.

Menurut Jabatan Pendidikan Kelantan, jumlah itu membabitkan keseluruhan 267,893 pelajar dan murid berdaftar memulakan sesi persekolahan tahun ini di 418 sekolah rendah dan 177 sekolah menengah.

– BERNAMA


Pengarang :