Gelagat murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan 2020 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Gelagat murid tahun satu warnai SK Seksyen 17

SHAH ALAM, 2 JAN: Pelbagai ragam murid tahun satu mewarnai hari pertama sesi persekolahan 2020 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17 di sini hari ini.

Tinjauan SelangorKini mendapati ada dalam kalangan murid yang kelihatan ceria, namun tidak kurang yang menangis dan enggan memasuki kelas.

Siti Norbaiyah Husin, 42, berdepan situasi mencabar apabila anaknya, Mohd Hazmi Azatul Amry mula meragam di rumah.

Siti Norbaiyah Husin

“Semasa di tadika dulu dia pernah meragam juga tetapi lama kelamaan segalanya lancar dan mungkin hari ini dia agak terkejut melihat ramai orang.

“Sebagai ibu memang agak risau tetapi harap dia tidak meragam terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, Siti Hajar Afiqah Shamsudin, 29, bersyukur anaknya, Nur Zara Afrina Mohd Fazli tidak meragam dan bersemangat untuk ke sekolah sejak semalam.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, anak saya pun memang tidak sabar untuk ke sekolah memakai baju dan beg baru. Syukur dia tidak meragam.

“Cuma pagi tadi agak mencabar untuk kejutkan dia kerana dalam perjalanan ke sekolah dia tertidur kerana jarak dari rumah ke sekolah mengambil masa sekitar 30 minit,” katanya.

Ahmad Fadhli Yahya

Ahmad Fadhli Yahya, 38, pula terhibur melihat pelbagai ragam murid tahun satu dan bersyukur anak tunggalnya, Nur Sabrina bersemangat untuk ke sekolah.

“Alhamdulillah dia tidak meragam dan tidak meminta saya menunggun sehingga tamat sesi persekolahan, saya harap dia gembira berjumpa rakan baharu,” katanya.

Sesi persekolahan pagi ini dimulakan dengan bacaan doa, catatan kehadiran dan sesi suai kenal.

SK Seskyen 17 mempunyai dua sesi persekolahan iaitu pagi untuk murid tahun satu, empat dan lima bermula 7.30 pagi hingga 12.50 tengah hari, manakala sebelah petang bagi murid tahun dua dan tiga bermula 1 hingga 5.50 petang.

Seorang murid tahun satu yang menangis ditenangkan ibu bapanya pada hari pertama sesi persekolahan 2020 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Murid-murid beratur ketika waktu rehat pada hari pertama sesi persekolahan 2020 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Suasana di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :