Logo Apple dilihat di luar gedung jualannya di Washington DC pada 9 Julai 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Gesaan Apple bantu akses data iPhone boleh cetus kritikan

WASHINGTON, 17 JAN: Permintaan supaya Apple membantu mengakses data yang terdapat dalam dua telefon pintar iPhone boleh mencetuskan kritikan, kata pemerhati hak asasi manusia dalam satu kenyataan pada Khamis.

Andai Apple bersetuju dengan permintaan tersebut, perbuatan itu seolah-oleh menunjukkan Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah kerajaan yang mahu menindas dan mengintip.

Permintaan itu dikemukakan Peguam Negara AS William Barr.

Telefon itu digunakan juruterbang Saudi yang terbabit dalam serangan di pangkalan tentera laut di Pensacola, Florida bulan lalu.

“Kod yang terdapat pada iPhone itu turut gagal dibuka oleh jurutera syarikat. Bagi mematuhi permintaan kerajaan, Apple mungkin perlu membina perisian khusus untuk melemahkan setiap ciri keselamatan iPhone, membuka ruang untuk keraajaan mengintip dan penggodam mengeksploitasi peranti,” lapor agensi berita Sputnik.

Pemerhati Hak Asasi Manusia memberitahu wartawan, pemberi maklumat dan aktivis bergantung dengan kod iPhone. Tindakan Amerika itu boleh membahayakan pengguna Apple.

Setakat ini, Apple enggan mematuhi permintaan Barr, walaupun menerima kecaman daripada pegawai AS termasuk Presiden Donald Trump dan kemungkinan perkara itu akan dibawa ke mahkamah.

Empat tahun lalu Apple sekali lagi bertelagah dengan kerajaan AS dan mencabar perintah mahkamah supaya syarikat itu membantu pihak berkuasa mengakses data iPhone yang digunakan lelaki bersenjata menyebabkan 14 orang terbunuh. Kes itu digugurkan selepas FBI mengupah syarikat luar dan berjaya mengakses data telefon berkenaan.

AS mengusir 21 juruterbang pelajar Saudi sebagai tindak balas terhadap serangan pada 6 Disember itu, yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut AS di Pensacola, Florida.

Kejadian itu menyebabkan tiga anggota perkhidmatan Amerika maut selain mencederakan lapan yang lain, sebelum suspek ditembak mati oleh pihak berkuasa.

– BERNAMA


Pengarang :