Selangorkini
PENDAPAT RENCANA

Graduan menganggur: Masalah graduan, universiti atau majikan?

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Isu graduan menganggur atau gagal mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka merupakan isu yang sering diperkatakan golongan muda hari ini.

Timbul persoalan apabila di pihak majikan, mereka mendakwa ramai graduan tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang relevan dengan kehendak industri sedangkan graduan terlibat telah menghabiskan masa antara tiga hingga lima tahun untuk memperoleh diploma atau ijazah sarjana muda.

Terdapat pelbagai pandangan berhubung masalah tersebut dan antara isu yang dibangkitkan adalah kemampuan institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan kursus dan ilmu pengetahuan yang selari dengan kehendak industri dan keperluan semasa buat pelajar mereka.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata ketika ini dapat dilihat ramai graduan yang mengikuti kursus-kursus tertentu di IPT, namun akhirnya bekerja di luar bidang kelayakan mereka.

“Ini berlaku kerana ketidakmampuan universiti untuk menukar kandungan kursus-kursus mereka dengan cepat. Walaupun mereka tahu bahawa apa yang diperlukan pasaran pekerjaan itu berlainan, tetapi untuk mereka menukar kursus atau membuat kursus baharu itu memakan masa yang lama,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya lagi, beliau difahamkan kursus baharu yang mahu diperkenalkan sesebuah IPT kebiasaannya mengambil masa sehingga lima tahun sebelum kursus tersebut mendapat kelulusan untuk ditawarkan.

“Bermakna kalau itulah masa yang diambil (untuk perkenalkan kursus baharu), sudah tentu masa yang akan diambil agak lama.

“Selepas kita tawarkan kursus berkenaan, ia mungkin tidak relevan lagi dengan pasaran pekerjaan kerana sekarang ini pasaran pekerjaan berubah dengan begitu cepat sekali,” katanya.

Sungguhpun begitu, Shamsuddin tidak menuding jari kepada pihak IPT sepenuhnya berhubung isu graduan menganggur.

“Untuk mengatakan bahawa universiti itu tidak menjalankan tugas mereka dengan baik, itupun bukanlah 100 peratus (kesalahan IPT). Kita juga melihat pasaran pekerjaan pada masa ini memang agak lembap,” ujarnya.

Di satu lagi pihak, bagaimanapun menjadikan sikap majikan yang terlalu cerewet ketika mengambil pekerja hingga menutup peluang graduan yang layak untuk bekerja sebagai antara penyumbang kepada kadar pengangguran itu.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata selain IPT, menjadi tanggungjawab majikan dan organisasi yang menawarkan peluang pekerjaan supaya turut melatih graduan untuk bekerja.

“Ini falsafah pendidikan, kita mengeluarkan graduan yang boleh berfikir, kita mengeluarkan graduan yang boleh menyesuaikan diri …dia (graduan) bukan dah ada kemahiran untuk kerja terus, mana boleh. Industri pun ada peranan untuk melatih graduan,” jelasnya.

Katanya tidak wajar untuk menuding jari kepada graduan dan universiti semata-mata kerana pihak industri ketika ini juga tidak menyajikan peluang pekerjaan secukupnya.

Sementara itu, beliau juga menyatakan setakat ini hampir 50 peratus graduan yang bekerja sebenarnya berada dalam bidang yang tidak setimpal dengan kelulusan mereka.

“Underemployed bermakna graduan yang bekerja dalam sektor atau jenis pekerjaan yang tidak memerlukan kepakaran dan kelulusan mereka… banyak. Ini isu besar,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :